Thursday, July 9, 2009

Asal usul Batu Gajah

Asal usul Batu Gajah
Beberapa versi telah dilaporkan mengenai asal usul nama Batu Gajah. Mengikut versi yang pertama, apabila bijih timah mula dijumpai di Batu Gajah, ramai pedagang asing dari Sumatera datang melalui Sungai Kinta untuk berdagang timah. Mereka kebanyakannya penganut agama Buddha yang menyembah berhala. Oleh sebab tempat tersebut belum bernama, mereka telah mengukir dua batu besar di tebing Sungai Kinta menyerupai dua bentuk ekor gajah.

Kemudiannya versi kedua, pelombong-pelombong bijih timah telah menemui batu-batu sebesar gajah dan keras seperti kepala gajah. Pelombong-pelombong kemudiannya menamakan kawasan tersebut ‘Batu Gajah’ (Batu Besar).

Mengikut satu lagi versi, iaitu versi yang mungkin lebih credible, nama Batu Gajah diambil daripada nama sebuah kampung Mandailing di Medan, Indonesia. Kampung tersebut masih lagi wujud. Biar apa sekali versinya, perlu dinyatakan di sini bahawa gajah bukanlah sesuatu yang asing bagi orang Melayu. Binatang darat paling besar ini telah digunakan secara meluas bagi pengangkutan darat di negeri-negeri Melayu sehinggalah awal tahun 1910-an. Dalam Perarakan Diraja Perak, pasukan gajah yang membawa rengga (tempat duduk belakang gajah) biasanya dihias berwarna-warni diiringi oleh juak-juak (biduanda) yang berpakaian indah membawa alat-alat kebesaran dan payung Diraja. Disamping itu, gajah juga digunakan dalam kerja-kerja pembalakan dan mengangkut hasil serta alatan perlombongan di Daerah Kinta.

No comments:

Post a Comment