Monday, June 22, 2009

Proses Tanaman Timun Tua

Assalamualaikum whb..

Salam sejahtera kepada semua.

Hari ni barulah ada masa yang agak terluang sikit untuk saya menulis lagi. Seperti yang saya khabarkan sebelum ini saya ingin berkongsikan serba sedikit perihal penanaman ‘Timun Tua’ yang sedang saya usahakan pada waktu ini.

Saya bukanlah ‘expert’ pasal timun tua ni, namun saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menjadikan impian saya sebagai kenyataan.

Sebaik sahaja habis musim menuai bayam, jagung dan kacang panjang di kawasan tanaman saya yang terdahulu, saya terus membuat persediaan untuk menanam timun tua di kawasan tersebut.

  1. Saya mulakan dengan kerja-kerja memotong batang jagung dan rumput2 yang agak besar menggunakan mesin rumput, kemudian kumpulkan rumput tersebut untuk dibakar.
  2. Setelah membersihkan kawasan, saya membuat kerja-kerja meracun rumput dengan menggunakan ‘power spray’ dan jenis racun adalah ‘Kopi ‘O’ dan Basta bagi memudahkan proses menggembur tanah dan membuat batas.
  3. Setelah rumput mati dan kering, saya mula membajak tanah menggunakan ‘power tiller’ dan seterusnya membuat longkang batas menggunakan cangkul.
  4. Apabila proses membuat batas siap dilakukan , sekali lagi kerja-kerja meracun rumpai terpaksa dilakukan. Saya menggunakan racun rumpai Prowl 330E (BASF) dan jenis 960 untuk mematikan biji benih rumput yang tinggal. Proses ini dilakukan untuk memastikan rumput rumpai tidak cepat membiak setelah benih timun tua ditanam.
  5. Setelah proses-proses tersebut dilakukan dengan mengambil masa kira-kira 10 hari, kini proses menanam akan dilakukan. Sebelum itu saya merendam biji benih dengan racun serangga/semut selama 15minit/10cc., bagi tujuan mengelakkan biji benih dimakan oleh semut atau dirosakkan oleh serangga lain.
  6. Kerja-kerja menanam biji benih timun tua dilakukan. Saya menanam 3-4 biji benih ke atas batas dengan jarak 1 ½ kaki dua baris sebatas. Oleh kerana batas agak panjang kira-kira 200 kaki sebatas, benih yang diperlukan agak banyak iaitu lebih dari 1kg biji benih dan mengambil masa yang agak lama iaitu kira-kira 3hari untuk menyiapkan proses menanam.
  7. Sementara menunggu benih yang telah ditanam tumbuh, penjagaan rapi perlu dilakukan, saya menyiram kawasan tanaman kira-kira 3-4 kali sehari, kerana pada peringkat permulaan tanaman timun tua ini perlukan air yang banyak, apatah lagi dengan keadaan cuaca yang agak panas dan tiada hujan pada waktu itu.
  8. Selepas menanti kira-kira seminggu selepas benih ditanam, saya dapat melihat pokok timun tua saya tumbuh menghijau, walau bagaimanapun saya dapati benih tidak tumbuh semua, kira-kira 40% tidak tumbuh. Ini disebabkan faktor cuaca yang terlalu panas dan air yang disiram terlalu cepat kering.
  9. Tindakan susulan yang saya lakukan adalah dengan menyulam biji benih timun tua yang baru di kawasan tanaman yang tidak tumbuh.
  10. Walaupun pada peringkat permulaan saya telah meracun rumput dan racun benih rumput di kebun saya sebanyak 2 kali, tapi masih terdapat rumput yang tumbuh kerana bukan semua jenis rumput akan mati selepas diracun. Pada peringkat ini saya terpaksa mencabut rumput-rumput yang masih hidup secara ‘manual’ untuk membersihkan kebun.
  11. Pada peringkat ini saya tidak dapat mengawal rumput dengan menggunakan racun rumpai kerana pokok timun tua saya masih kecil (masih baby lagi),. Setelah rumput dicabut satu persatu, kebun saya nampak bersih dan cantik.
  12. Kira-kira 2 minggu setelah benih timun tua saya ditanam dan tanaman sulaman dibuat, pokok timun tua saya telah tumbuh dengan ketinggian kira-kira 3-5 inci, kini proses memotong pokok yang tumbuh lebih daripada 2 pokok selubang terpaksa dilakukan. Ini bagi menjaga kualiti buah timun tua yang bakal dikeluarkan. Saya memotong satu persatu pokok timun tua tersebut dengan gunting dan tidak boleh mencabut pokok itu kerana akan menggagu akar pokok yang ditinggalkan.
  13. Setelah proses memotong anak pokok timun tua tersebut siap dilakukan, kini tiba masanya untuk saya memberi makan kepada pokok timun tua saya. Saya perlu meletakan baja tahi ayam kira-kira 50-100gm diantara baris tanaman di atas batas. Bab membaja ni saya memang tidak mahir dan terpaksa menyuruh pekerja saya melakukanya. Setelah siap meletakan baja diantara baris tersebut, saya menimbus tahi ayam itu dengan pasir/tanah bagi meningkatkan keberkesanan baja itu sendiri untuk tanaman saya.
  14. Tanaman timun tua ini bersifat menjalar, oleh itu ia memerlukan sokongan ‘junjung’ buluh atau kayu yang sesuai untuk dipasang berhampiran pokok di atas batas. Disebabkan buah timun tua ini agak berat, maka saya perlukan buluh/kayu yang agak banyak. Saya menempah kira-kira lima ribu batang buluh yang panjangnya 7 kaki setiap satu. Proses memasang junjung ini juga mengambil masa yang agak lama dan ianya berbeza dari ‘junjung’ timun biasa. Saya memacakan 3 batang buluh untuk setiap 4 lubang tanaman di atas batas, dan mengikat di bahagian atas bagi membentuk struktur tiga segi.
  15. Kawalan racun serangga,ulat dan kulat. Setelah kira-kira 20 hari timun tua saya ditanam dan ketinggian pokok hampir mencecah 5-8 inci, saya perlu meracun pokok timun tua saya dengan racun serangga. Saya gunakan 3 jenis racun serangga iaitu Armada, 019 dan Abesta. Proses ini bagi mengelakan serangan ulat pada pucuk muda timun tua tersebut. Sekiranya terkena serangan ulat, pembesaran pokok akan terganggu/terencat. Alhamdulillah, setakat ni pokok timun tua saya masih baik dan sihat-sihat belaka. Syukur Alhamdulillah. Cuma terdapat sedikit gangguan lalat putih atau sejenis trip yang suka melepak dekat daun muda timun tua saya.

Monday, June 15, 2009

Timun Tua

Sebenarnya banyak sangat benda yang nak saya tulis fasal timun tua ni..
nantilah. Jika ada masa terluang saya akan tulis pasal tanaman timun tua plak.

Saturday, June 13, 2009

Tanaman di kebun saya

Tanaman sayuran yang diusahakan dan penjagaan.

Dengan mengambil masa kira-kira 10 hari bagi membuat penyediaan tapak, membajak, menyangkul, membuat batas, menggaul baja, memasang sistem siraman, memotong kayu, memasang pagar dan sebagainya.., kini kebun saya sedia untuk ditanam dengan beberapa jenis sayuran yang telah dirancang. Tanaman pertama yang saya usahakan ialah jagung, kemudian diikuti dengan kacang bendi, timun, kacang buncis, kacang panjang, bayam hijau, bayam merah, sayur licin, keledek, sengkuang, kentang, terung panjang dan cili padi. Saya menanam berbagai jenis tanaman ini adalah sebagai percubaan bagi mengenal pasti tanaman yang sesuai ditanam di kebun saya serta untuk mencari pengalaman berharga untuk diri saya sendiri. Nampaknya semua jenis tanaman adalah sesuai ditanam di kebun saya kecuali ‘kentang’. Kentang tidak sesuai ditanam di tanah rendah kerana cuaca yang panas berbanding di tanah tinggi seperti di Cameron Highland.
Setelah melalui perjalanan singkat saya sebagai seorang petani, terlalu banyak pengalaman yang saya perolehi dan selepas beberapa bulan berkebun, dengan penjagaan yang rapi, saya dapati tanaman tumbuh subur menghijau. Hasil kebun saya amat menggalakan. Alhamdulillah, syukur nikmat yang dianugerahkan oleh Allah swt.

Pemasangan sistem siraman

Pemasangan sistem siraman air dan ujian.

Setelah kawasan kebun dibersihkan dan longkang batas siap dicangkul, saya mula melakukan kerja-kerja pemasangan paip ‘poly dan pvc’ untuk sistem siraman ‘sprinkler system’. Saya menempatkan mesin pam air berskala kecil berhampiran kolam air sedia ada di kawasan tersebut untuk memudahkan kerja-kerja menyiram tanaman saya. (Saya difahamkan kolam tersebut adalah bekas lombong bijih timah yang menggunakan sistem ‘palong’ di kawasan kolam tersebut). Setelah semua peralatan siap dipasang, saya menguji sistem siraman tersebut untuk memastikan tahap keberkesanan sistem ini, dan ternyata ianya berjaya dan tidak menghampakan. Cuma kerja kena lebih sedikit disebabkan saya menggunakan pam air yang kecil (nak jimat). Pam air ni cuma dapat menyiram kira-kira ¼ ekar sahaja dalam satu-satu masa. Mungkin suatu hari nanti saya akan menggunakan pam yang lebih besar, yang biasanya menggunakan enjin kereta atau lori. Insyaallah.

Proses 'land clearance'

Proses pembersihan kawasan 'land clearance' dan penyediaan tapak.

Setelah mendapat lokasi yang difikirkan sesuai untuk dijadikan kebun sayuran, saya menyewa ‘backhoe’ untuk membuat kerja-kerja pembersihan kawasan. Dalam masa empat hari menggunakan backhoe kawasan seluas kira-kira seekar dapat dibuka, dan selebihnya saya menggunakan khidmat tractor untuk menggemburkan tanah. Selain daripada itu saya menggunakan ‘kederat tulang empat kerat saya’ dengan menggunakan cangkul, gigi besi dan juga ‘power tiller’ untuk melakukan kerja-kerja menggembur tanah, membuang akar kayu dan membuat batas bagi penyediaan tapak kebun ini, dengan dibantu oleh dua orang pekerja.

Proses mengenal pasti lokasi kebun

Proses mengenal pasti lokasi kebun yang sesuai.

Proses ini mengambil masa yang agak lama sebelum projek dapat dijalankan, disebabkan saya tidak memiliki tanah sendiri serta faktor kewangan yang amat terhad, saya terpaksa meneroka tanah terbiar di sekitar kampung saya untuk dijadikan kebun perintis bagi diri saya sendiri, sebelum saya pergi lebih jauh lagi dalam bidang pertanian ini. Saya faham, bahawa projek ini amat berisiko apatah lagi tanah yang saya usahakan tersebut adalah bukan milik saya sendiri. Walau bagaimanapun saya amat berharap pelaburan yang saya lakukan ini tidak sia-sia dan akan berjaya akhirnya.

Tuesday, June 9, 2009

Kebun Sayur Saya

Pada peringkat permulaan saya menjalankan projek kebun sayur ini dengan menanam beberapa jenis sayuran seperti kacang bendi, timun, kacang buncis, kacang panjang, bayam, terung dan jagung.. Saya mengusahakan tanaman ni sebagai percubaan dan pembelajaran dalam bidang pertanian ini, maklumlah saya tiada pengalaman dalam bidang ni. So, kena ‘try and error’ dulu la. Memang perit rupanya buat kebun ni, namun saya tabahkan jugak hati, disamping tu cuba cari jalan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil pengeluaran.Berkebun ni memang mencabar rupanya, apatah lagi dengan modal yang tak seberapa, cetek pengalaman di tambah pulak dengan kawasan tanah yang tak berapa ada tanah sebab kawasan lombong.

Selepas membuat ‘land clearance’ kena la buat batas pulak, mujur ada mesin power tiller, walaupun kecik tapi sangat membantu, tak la penat sangat menyangkul.. Sebelum ada mesin tu saya cangkul je tanah tu, ada la rasa macam nak patah pinggang, terkoyak kulit tapak tangan.. adat berkebun la tu..bendi&kacangbuncis

Masa berlalu begitu pantas, sedar-sedar tanaman saya dah pun besar. Hasilnya tak la seberapa, tapi boleh la nak survive, pengalaman saya yang amat berguna, kalau nak buat kebun dengan skala kecil dan sederhana kena tumpukan hanya 1,2 atau 3 jenis tanaman sahaja. Senang nak monitor, baja, racun ulat, racun rumpai dan penjagaan lain.

Timun/cucumber
Abg Yeop/Muhammad Amsyar, anak sulong saya di kebun sayur. Penjagaan tanaman timun ni rumit jugak, hari-hari kena petik sebab tak nak tua. Daun kena selalu buang, baru pokok cantik.



Abg Yeop tengah menggayakan bayam merah sambil tersenyum simpul,.
Bayam saya tanam di batas tanaman bendi dan timun, sementara tunggu bendi dan timun keluar hasil dapat lah tuai bayam dulu, sebab bayam cepat hidup, kira-kira 28 hari je.

Jagung kampung (TSS) subur dan menjadi, tapi malangnya kebun saya terkena serangan babi tunggal yang mengganas di kebun saya. Hampir 30% dari 1ekar jagung musnah dikerjakan babi tersebut. Akhirnya saya terpaksa membela 2ekor anjing untuk guard kebun. Nama anjing saya al-rhokeen, ibu mertua saya yang bagi nama tu. Yang sekor lagi belum ada nama lagi

Saya jadi petani

Baru-baru ini pada bulan November 2008 saya ada membuka sebuah kebun sayur di Batu Gajah, Perak dengan keluasan kira-kira 3 ekar.

Saya memang tiada pengalaman dalam bidang pertanian ini, namun disebabkan minat terhadap ‘nature’ yang mendalam saya memberanikan diri untuk mengeluarkan modal dan berbudi kepada tanah. Walaupun pengalaman saya amat cetek dalam bidang pertanian dan faktor kewangan yang amat terhad, saya nekad untuk terus mengembara ke dalam bidang ini secara konsisten.. Insyaallah.

Assalamualaikum whb

Salam sejahtera kepada semua.
Sebenarnya saya baru je creat blog ni. Biasalah benda baru akan ada banyak salah dan silapnya, kira try and error la jugak. Tapi saya akan cuba belajar dan terus belajar.. seperti pengembaraan yang tiada penghujung..

Wassalam.